Cari Blog Ini

Khamis, 26 Mei 2016

Arifbillah Tuan Guru Sheikh Toyyib al-Makki

Arifbillah Tuan Guru Sheikh Toyyib al-Makki


Tuan Guru Sheikh Toyyib al-Makki merupakan salah seorang daripada ulama' yang sempat bertalaqi dengan al-alamah Sheikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir al-Fathoni ( Pak Da'eil ) yang merupakan seorang ulama' Makkah yang alim dan faqih tauhid yang mana mempunyai ribuan anak murid di seluruh dunia. Tuan Guru juga sempat bertalaqi dengan beberapa ulama' muktabar Makkah pada ketika itu seperti al-Musnid Dunya Sheikh Yassin Isa al-Fadani, al-alamah Sheikh Abdul Qadir al-Mandiling, al-alamah Sheikh Hassan Masyath dan banyak lagi.

Tuan Guru lahir pada tahun 1912M dan mula menuntut ilmu di pondok di sekitar Kedah dan Fathoni sebelum berangkat ke Makkah. Beliau menetap disana menuntut ilmu dari Masyaikh di sana sehingga kesemua 10 orang gurunya kembali kerahmatullah barulah beliau pulang ke tanah air tetapi kembali ke sana setiap 6 bulan sekali setiap tahun hinggalah kini.

Beliau hanya makan roti dan bihun dan digelar Haji Tayyib Roti di Makkah. Beliau merupakan seorang yang lantang menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran sehinggalah tidak disukai masyarakat setempat namun beliau tetapkan tegakkan kebenaran.

Saya mula mengenali beliau hanyalah pada tahun 2012 melalui Himpunan Ijtima' Ulama' 2012 di Surau Perwaja Gurun Kedah. Bermula saat itulah hati ini menyimpan hasrat bertemu dan belajar dengan beliau dan hasrat diizinkan Allah pada penghujung tahun yang sama..Alhamdulillah...


Beliau tinggal di Kampung Asam Jawa, Baling Kedah di dalam kebun getah yang jarak ke jalanraya sekitar 2km. Bayangkan seorang yang berusia sedemikian melalui jalan tersebut dengan hanya berjalan kaki setiap hari. Rumahnya pula dibina sendiri dan kini telah usang dimamah masa dan kini beliau menetap di rumah baru bersebelahan jalan raya Kg Asam Jawa. Beliau sangat mudah didekati oleh segenap lapisan masyarakat kerana akhlaknya sangat indah. Nasihat dan ilmu yang disampaikan pasti bersesuaian dengan diri orang yang dinasihatinya itu. 

Bahasa-bahasa yang beliau gunakan adakala terlampau sukar difahami disebabkan kiasannya yang tak dapat difahami oleh orang jahil seperti saya. Doa-doanya mustajab dan beliau seringkali menekankan supaya sentiasalah BERSEDEKAH dan BERSELAWAT kepada junjungan besar nabi S.A.W.

Alhamdulillah saya sempat mendapat sedikit sebanyak ilmu dari beliau dan beliau sudi mengijazahkan sebilangan amalan kerohanian. Semoga Allah memelihara dan memanjangkan usianya agar kita semua sempat menemunya dan mengambil barakah dan mutiara yang disimpannya..

Sekian..

Ahad, 8 Mei 2016

Sheikh Hassan Bangkok


Almarhum Sheikh Hassan Bangkok merupakan di kalangan ulama' yang tidak dikenali umum melainkan para pelajar pondok-pondok pengajian lama. Amat sedikit sejarah yang dapat kita ketahui mengenai beliau.

Saya pernah menziarahinya 2 kali iaitu sekali pada tahun 2012 iaitu ketika mana beliau masih hidup dan ziarah terakhir saya pada 2013 pada hari pengebumian beliau.al-fatihah..

Ketika menziarahi beliau pada tahun 2012, alhamdulillah saya sempat mendapatkan beberapa nasihat berharga daripada beliau. Saat itu pun kelihatan beliau keletihan kerana usianya. Alangkah terkejutnya saya tatkala beliau sendiri memberitahu saya pada ketika itu umurnya sudah mencecah 138 tahun. Allahu Akbar amat sukar berjumpa manusia yang mempunyai usia sebegini. Alhamdulillah diizinkan Allah saya bertemu dengannya.

Berbalik saat ziarah saya ke rumahnya yang terletak di belakang masjid gurun di Pekan Atap, Gurun, Kedah, beliau saat itu sedang istirehat berseorangan ( alhamdulillah saya dapat berjumpa dengan beliau secara bersendirian ). Ketika mana memberi salam, beliau datang ke muka pintu menyambut saya, anak lelaki saya dan isteri saya ( alangkah indah akhlak ulama', walaupun saya tidak dikenalinya malah muda saat itu juga dilayan baik).

Ketika sedang berbual dan bertanya beberapa soalan, dapat dilihat bahawa beliau amat kasihkan anak-anak kecil. Ketika itu usia anak saya baru 2tahun. Terdapat kitab-kitab tua yang amat uzur tersusun di belakang tenpat kami berbual, melihat pada keadaan kitab tidak terjangkau fikiran berapakah usia kitab itu kerana kulit yang tebal pun menjadi usang.

Saat berbual itu diingatkan kepada saya supaya taqwa itu pokok agama. Dan beliau menasihatkan saya supaya rajin bersedekah tanpa mengira status orang yang kita memberi. Beliau juga memberi sedikit amalan kepada saya untuk diamalkan. Beliau banyak menceritakan kisah silam beliau ketika muda dan menyatakan banyak saudaranya masih tinggal di Bangkok.

Setelah hampir 2jam kami di sana, maka saya meminta izin mengundur diri dan meminta beliau doakan anak lelaki saya dan alhamdulillah beliau sudi mendoakannya. Akhirnya saya meminta izin mengambil gambar bersama beliau agar dijadikan kenang-kenangan dan pembakar semangat anak dan diri saya kelak dan beliau dengan senang hati mengizinkan.


Pada tahun 2013, sekali lagi saya menziarahi beliau di rumahnya tetapi dalam keadaan berbeza. Saya pergi bersama abang saya menziarahi jenazah beliau di Pekan Atap, Gurun. Di sana kami sempat bertemu para ulama' terkenal dan tersembunyi salah seorangnya Ustaz Nordin al-Banjari dari Singapura dan sahabat Sheikh yang tak sempat saya bertanya banyak.Hanya itulah kenangan saya dengan almarhum Sheikh Hassan Bangkok. al-Fatihah...

Beliau meninngalkan dunia yang fana ini menjelang maghrib 10 Oktober 2013 bersamaan 5 Zulhijah 1434, dan dikebumikan selepas solat jumaat. Berusia 139 tahun. Belajar pondok selama 20 tahun. Merupakan mursyid tarikat Syaziliah. Almarhum juga merupakan qadhi di Bangkok Thailand.

Al-Fatihah...semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.


Sabtu, 7 Mei 2016

Amalan Bulan Rejab


Amalan Sepanjang Bulan Rejab



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Umat Islam digalakkan beribadat sebanyak mungkin dalam bulan Rejab sebagai satu latihan sebelum mereka menghadapi bulan Ramadan kerana pada bulan ini Allah SWT banyak memberikan Rahmat-Nya.
Ia adalah permulaan bulan mulia dan bagi mempertingkatkan ibadat dan ketaqwaan, terutama melipat-gandakan amal soleh seperti istighfar dan puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda: “Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah perbuatan maksiat dalam bulan mulia, iaitu Rejab.”
Rejab sebagai bulan penebus dosa serta menambah ganjaran pahala juga mempunyai banyak kelebihan dan bermanfaat. Beberapa amalan yang baik dilakukan dalam bulan Rejab ialah:
  • Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
  • Meneguhkan jiwa dan keimanan dengan memperbanyak bacaan al-Quran.
  • Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan beristighfar dan zikir
  • Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat, puasa dan bersedekah
  • Mohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
  • Menginsafkan diri dengan membaca atau mendengar peristiwa Israk dan Mikraj, kisah teladan perjuangan Rasulullah dan sirah Islam lain.
Dari  Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa membaca kalimah berikut, pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan di antara waktu Zuhur dengan Asar; nescaya disuruh dua malaikat untuk menghapuskan surat kejahatan.”
 .
اَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمُ الَّدِىْ لآ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ تَوْبَةَ عَبْدٍ ظَالِمٍ لاَ يَمْلِكُ لِنَفْسِهِ ضَرًّا وَلاَ نَفْعًا وَلاَ مَوْتًا وَلاَ حَيَاةً وَلاَ نُشُوْرًا.
Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.
AMALAN MALAM REJAB
  1. Solat sunat Tahajud 2, 8 atau 12 rakaat.
  2. Solat sunat Tasbih, Taubat dan sunat witir.
  3. Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih..
  4. Berdoa.
  5. Memohon keampunan diri dan ibu bapa.
  6. Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh.

 AMALAN BULAN REJAB

1. Bersolat
  1. Solat-solat sunat mengiringi solat fardhu.
  2. Solat sunat Israk, solat sunat Dhuha dan solat sunat Taasbih.
2. Bertaubat
Bertaubat dan berdoa mohon keampunan agar diterima amalan ibadat, minta selamat dunia dan akhirat, minta dilimpahi rahmat, minta dilepaskan daripada azab-Nya di akhirat dan mohon dimasukkan ke syurga.
Dalam Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa-dosa orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Sekiranya ditambah dengan berpuasa Rejab wajib baginya;
    1. diampunkan dosanya yang lalu.
    2. dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
    3. terlepas dari dahaga di hari kiamat.
3. Berzikir ~ Tahlil, Takbir dan Istighfar selepas Solat Fardhu Subuh dan Asar :
4. Tiga Tasbih; Setiap satu, 100 kali :
5. Tasbih Pada Setiap Sepuluh Hari Rejab :
6. Istighfar Tauhid; 1 ~ 30 Rejab :
7. Berselawat : 
8. Beristighfar Pagi dan Petang :-
9.  Membaca surah Al-Ikhlas sekurang-kurangnya  11 kali setiap hari.
10.  Membaca Al-Quran.
ISTIGHFAR
Rasulullah saw menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka. Dan banyakkanlah beristighfar pada Rejab kerana pada setiap saat dalamnya Allah menyelamatkan seorang daripada api neraka.
1.  Penghulu Istighfar adalah di antara istighfar  yang diamalkan Baginda sepanjang Rejab :
2.  Istighfar paling baik dalam bulan Rejab:
Doa Bulan Rejab :


والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

TUAN GURU HAJI SALLEH SIK

TUAN GURU HAJI SALLEH SIK



Nama : Tuan Guru Hj Salleh bin Musa
Tarikh Lahir : 08.02.1929
Ayah: Tuan Guru Hj Musa bin Salleh
Ibu: Khatijah bt Saad
Tempat lahir :Pekan Sik
Bil Adik beradik : 8 orang Anak ke : 3

Pendidikan :
  • Sek Rendah Keb Sik (Dan ke Pondok Tn Hussin Kedah, kemudian ke Pondok Tn Guru Hj Mad Nawawi Gurun Kedah, ini kurang mashur kerana Tn Guru Sekejap sahaja disana)
  • Pondok Pak Chu Him Gajah Mati Pendang Kedah
  • Darul Ulum Makkah dan menamatkan sijil kepujian Aliy
  • Kemudian mendalami ilmu di Masjidil Haram Makkah bersama syeikh-syeikh terkemuka diantaranya Syeikh Ismail Fatani , Syeikh Yassin Al Fadani , Syeikh Abd Qadir Mandili , Syeikh Syed Alawi Al Malikki , Syeikh Syed Amin Qutubi dan syeikh muktabar lain .
Berkahwin dengan Hj Hatiah bt Hanafi. Mendapat 2 orang cahaya mata semasa berlajar di Makkah. Tn Guru memiliki 11 orang cahaya mata semuanya. Kini isteri beliau sudah meninggal dunia dan Tn Guru sekali lagi berkahwin dengan Hj Sofiah bt Hj Awang
Tahun 1964 Tn Guru pulang ke Tanah air dan terus berkhidmat membantu mengajar di pondok ayah beliau di Pekan Sik . Tn Guru menggantikan ayah beliau sebagai mudir Madrasah Ar Rahmaniah hingga sekarang . Sekarang Tn Guru dibantu oleh anak belaiu Syeikh Muslim sebagai Tim Mudir .
Tn Guru menumpukan dakwah sepenuh masa di Pondok hingga sekarang dan beliau menyampaikan dakwah di setiap daerah di sekitar negri Kedah Darul Aman .
KDYMM Sultan Kedah telah anugerahkan beberapa pingat kebesaran , diantaranya B.K.M, S.D.K dan Tokoh Pendakwah Negeri Kedah tahun 2009. Pada tahun 2010 MB Kedah YAB Ust Azizan Abd Razak meanugerahkan Tokoh Pondok Negeri Kedah, 2011 beliau dinobat Tokoh Ilmuan Daerah Sik Oleh Pegawai Daerah Sik
SEKARANG ULAMA ARAB TERUTAMNYA YAMAN , JORDAN, MESIR SERING MENZIARAHI TN GURU KERANA TN GURU MERUPAKAN ULAMA YANG SEMPAT MENDALAMI ILMU DENGAN ULAMA MUKTABAR MASJIDIL HARAM MAKKAH SATU KETIKA DULU INSYALLAH
Antara Masyaikh Hafizahullah yang menziarahi beliau :

Syeikh Yussuf Al Hassani (Lubnan)
Syeikh Muhammad Ibrahim (Mesir)
Habib Kazim ( Yaman )
Habib Abdullah ( Jeddah)
Syeikh Habib ( Jordan)
Dan banyak lagi...



Saudara yang saya kasihi, Tuan Guru Hj Salleh merupakan ulama yang terkenal di Kedah sekarang kerana beberapa faktor ketokohan beliau, diantaranya beliau merupakan Tuan Guru Pondok yang paling tua nisbah umur dikalangan Tn Guru Pondok disekitar Kedah .
Beliau merupakan tokoh ulama Tauhid di alam melayu sekarang, seluruh pelajar pondok seluruh Malaysia, Thailand akan berkumpul di Pondok Tn Guru Hj Salleh, Sik setiap bulan Ramadhan semata-mata untuk belajar ilmu tauhid dengan Tuan Guru Hj Salleh
Beliau sangat petah dalam penyampaian ilmu dan dakwah , mudah difahami apa yang beliau syarahkan
Kuliah minguan beliau setiap hari Jumaat tidak kurang dari 3000 orang yang hadir . Setiap hari beliau gigih mengajar di Madrasah Ar Rahmaniah dan beliau keluar menyampaikan dakwah di seluruh daerah didalam Kedah , hampir 24 tempat beliau jelajah setiap bulan, Allah beri taufiq pada beliau, walau usia 83 tahun tetapi beliau masih bertenaga menyebarkan ilmu dan berjuang .
Ketokohan beliau tidak dapat dinafikan oleh kawan dan lawan, tegas dalam hukum menyebabkan ramai suka dengan beliau. Allahyarham Pak Teh Keroh pernah berpesan pada muridnya
“Kamu semua kena (perlu) pakai (ikut ) segala fatwa dari Tn Guru Hj Salleh Sik”
Beliau sangat aktif berjuang untuk memastikan Islam tertegak didalam negara Malaysia yang kita cintai. Wadah yang beliau pilih adalah PAS kerana ini merupakan amanat dari dua orang Guru beliau di Makkah iaitu Syeikh Qadir Mandili dan Syeikh Wan Ismail ( Pak Da Eil)
Fikiran beliau sangat terbuka
Seorang ulama di negeri Kedah apabila saya ziarahi beliau, beliau berkata
“Tn Guru Hj Salleh merupakan setengah daripada orang yang memiliki wilayah yang luas , sahabat dan musuh semua tunduk padanya”

Aku Cinta Ulama'

Aku Cinta Ulama'

Indah langit di saat malam,
Bulan dan bintang jadi teman,
Tatkala diri terasa kelam,
Itulah tanda goncangan iman...

Indahnya langit tak lama kelihatan,
Hujan menitiskan gerimis kelembutan,
Sudah menjadi tabiat syaitan,
Mengajak diri kepada kejahatan...

Gerimis menghilang sebelum cerah,
Muncul sang suria penyeri kehidupan,
Jalan dituju segenap arah,
Mencari tempat mutiara tersimpan...

Mentari menyinsing ayam bertebaran,
Mencari makan tanpa gundahan,
Mutiara dicari kaca bertaburan,
Perlu teliti saat pilihan...

Mentari memancar tanpa halangan,
Menunggu saat ia tenggelam,
Pilihan dibuat dengan pegangan,
Pegangan diambil dari ulama silam...

Saat tiba mentari menghilang,
Anak bertempiaran mencari emak,
Hidup kini bagaikan lalang,
Andai tidak berpaut pada ulamak...