Cari Blog Ini

Ahad, 8 Mei 2016

Sheikh Hassan Bangkok


Almarhum Sheikh Hassan Bangkok merupakan di kalangan ulama' yang tidak dikenali umum melainkan para pelajar pondok-pondok pengajian lama. Amat sedikit sejarah yang dapat kita ketahui mengenai beliau.

Saya pernah menziarahinya 2 kali iaitu sekali pada tahun 2012 iaitu ketika mana beliau masih hidup dan ziarah terakhir saya pada 2013 pada hari pengebumian beliau.al-fatihah..

Ketika menziarahi beliau pada tahun 2012, alhamdulillah saya sempat mendapatkan beberapa nasihat berharga daripada beliau. Saat itu pun kelihatan beliau keletihan kerana usianya. Alangkah terkejutnya saya tatkala beliau sendiri memberitahu saya pada ketika itu umurnya sudah mencecah 138 tahun. Allahu Akbar amat sukar berjumpa manusia yang mempunyai usia sebegini. Alhamdulillah diizinkan Allah saya bertemu dengannya.

Berbalik saat ziarah saya ke rumahnya yang terletak di belakang masjid gurun di Pekan Atap, Gurun, Kedah, beliau saat itu sedang istirehat berseorangan ( alhamdulillah saya dapat berjumpa dengan beliau secara bersendirian ). Ketika mana memberi salam, beliau datang ke muka pintu menyambut saya, anak lelaki saya dan isteri saya ( alangkah indah akhlak ulama', walaupun saya tidak dikenalinya malah muda saat itu juga dilayan baik).

Ketika sedang berbual dan bertanya beberapa soalan, dapat dilihat bahawa beliau amat kasihkan anak-anak kecil. Ketika itu usia anak saya baru 2tahun. Terdapat kitab-kitab tua yang amat uzur tersusun di belakang tenpat kami berbual, melihat pada keadaan kitab tidak terjangkau fikiran berapakah usia kitab itu kerana kulit yang tebal pun menjadi usang.

Saat berbual itu diingatkan kepada saya supaya taqwa itu pokok agama. Dan beliau menasihatkan saya supaya rajin bersedekah tanpa mengira status orang yang kita memberi. Beliau juga memberi sedikit amalan kepada saya untuk diamalkan. Beliau banyak menceritakan kisah silam beliau ketika muda dan menyatakan banyak saudaranya masih tinggal di Bangkok.

Setelah hampir 2jam kami di sana, maka saya meminta izin mengundur diri dan meminta beliau doakan anak lelaki saya dan alhamdulillah beliau sudi mendoakannya. Akhirnya saya meminta izin mengambil gambar bersama beliau agar dijadikan kenang-kenangan dan pembakar semangat anak dan diri saya kelak dan beliau dengan senang hati mengizinkan.


Pada tahun 2013, sekali lagi saya menziarahi beliau di rumahnya tetapi dalam keadaan berbeza. Saya pergi bersama abang saya menziarahi jenazah beliau di Pekan Atap, Gurun. Di sana kami sempat bertemu para ulama' terkenal dan tersembunyi salah seorangnya Ustaz Nordin al-Banjari dari Singapura dan sahabat Sheikh yang tak sempat saya bertanya banyak.Hanya itulah kenangan saya dengan almarhum Sheikh Hassan Bangkok. al-Fatihah...

Beliau meninngalkan dunia yang fana ini menjelang maghrib 10 Oktober 2013 bersamaan 5 Zulhijah 1434, dan dikebumikan selepas solat jumaat. Berusia 139 tahun. Belajar pondok selama 20 tahun. Merupakan mursyid tarikat Syaziliah. Almarhum juga merupakan qadhi di Bangkok Thailand.

Al-Fatihah...semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.


1 ulasan:

  1. Alhamdulillah saya juga sempat 2-3 kali ziarah beliau masa hidup. Pertemuan kali pertama dia kejutkan saya di birai masjid Gurun. Ajak saya makan dan belanja kopi pagi. www.criminallawyermalaysia.com

    BalasPadam