Apa Itu Jerebu
Kebanyakan kita mungkin sudah lupa apa itu jerebu dan kesannya kepada tubuh badan. Jika kita berada di bangku sekolah, pendedahan terperinci diberikan guru selain pelbagai alternatif digunakan untuk menjaga kesihatan.
Kita, generasi muda dilihat paling ramai tidak memandang serius penjagaan kesihatan ketika negara menghadapi fenomena ini. Sama ada penunggang motosikal tidak memakai penutup hidung (mask) hinggalah anda yang tetap melakukan aktiviti luar meskipun keadaan udara semakin teruk.
Ketika ini, Malaysia dan negara serantau sekali lagi dilanda pencemaran udara atau jerebu dengan teruk sekali. Isu ini ibarat perkara rutin yang muncul setiap tahun tanpa dapat dikawal mahupun dikurangkan.
Mungkin disebabkan ia berlaku secara kerap, kita seakan-akan endah tak endah mengenai hal ini.
Seperti dijelaskan dalam portal Kementerian Kesihatan, jerebu adalah keadaan kualiti udara tidak baik. Ini kerana kehadiran partikel (opalescent) di atmosfera mengurangkan jarak penglihatan.
Situasi ini disebabkan pencampuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.
Bahan pencemaran yang memberi kesan kepada kesihatan ketika jerebu termasuk bahan partikel yang berukuran kurang daripada 10mm/m3 diameter Ozon, gas karbon monoksida, gas nitrogen dioksida dan sulfur dioksida.
sumber : apims
Apa Itu IPU
Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang digunakan di seluruh dunia, terdapat enam tahap yang diklasifikasikan pencemaran udara. Ia bermula dari tahap baik iaitu 0 hingga 50 hinggalah ke tahap bahaya iaitu melebihi bacaan 300.
Bahaya Jerebu
Bukanlah perkara biasa jika kita sesak nafas secara tiba-tiba. Kesukaran bernafas ini disebabkan molekul yang terdapat pada udara terkandung gas beracun yang tidak elok disedut manusia.
Lebih membimbangkan apabila penghidap asma, radang paru-paru lebih berisiko tinggi terdedah kepada masalah sesak nafas.
Hidung adalah saluran utama pernafasan. Namun jika terlalu banyak udara berbahaya disedut ketika jerebu, ia dikhuatiri akan mengakibatkan hidung tidak mampu menapis udara beracun.
Hal ini seterusnya menyebabkan hidung berair seperti selesema dan juga bersin yang kerap.
Terdapat pelbagai jenis penyakit yang berisiko terdedah kepada sesiapa yang terdedah kepada jerebu antaranya terasa gatal di bahagian kerongkong, batuk. kulit terasa gatal, mata gatal dan sakit dada.
sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia
Elakkan Aktiviti Luar
Banyak portal dan tip kesihatan dikongsikan media cetak dan media elektronik. Paling utama, kurangkan aktiviti luar. Sekiranya anda seorang yang aktif dan melakukan rutin bersukan di luar setiap hari, apa kata cuba lakukannya di rumah dan cari senaman terbaik demi kesihatan anda.
Sentiasa gunakan topeng pernafasan apabila keluar rumah. Sebaiknya, kurangkan merokok kerana asap rokok dan udara yang disedut akan memburukkan lagi tahap kesihatan.
Banyakkan minum air sekurang-kuranya dua liter sehari dan selalulah membasuh tangan dan muka selepas melakukan aktiviti luar.
Jika simptom buruk berlarutan, dapatkan nasihat perubahan supaya anda dapat jalani rutin harian seperti biasa.
sumber : Harian Metro
DOA KETIKA CUACA BURUK DAN JEREBU KEMBALI MELANDA
اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ هَذِهِ الرِّيحِ، وَخَيْرِ مَا فِيهَا وَخَيْرِ مَا أُمِرَتْ بِهِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ هَذِهِ الرِّيحِ، وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُمِرَتْ بِهِ. رَبَّنَا اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ.
"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kebaikan dari angin dan cuaca ini dan kebaikan apa yang ada padanya dan kebaikan apa yang diperintahkan dengannya. Dan kami memohon dengan-Mu agar dijauhkan dari keburukan angin dan cuaca ini dan dari keburukan yang ada padanya dan keburukan yang diperintahkan dengannya. Wahai Tuhan kami! Lenyapkanlah azab (jerebu) ini daripada kami, sesungguhnya kami orang yang beriman".
sumber : Jakim
Pemakanan Sihat Semasa Berjerebu
Pemakanan yang sihat adalah penting semasa musim berjerebu untuk mempertahankan sistem imunisasi badan dan menjauhkan diri kita dari mendapat pelbagai penyakit yang ada kaitan dengan jerebu .
Air adalah satu keperluan bagi setiap individu. Air diperlukan di dalam badan sebagai pelarut makanan, garam mineral dan vitamin. Air juga diperlukan untuk mengawal suhu badan dan melancarkan peredaran darah.Air penting untuk meningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak .Minum air kosong pada masa tertentu akan membantu meningkatkan kadar metabolisma badan.
Semasa musim berjerebu, cuaca sekeliling yang kering dan panas akan meningkatkan keperluan tubuh terhadap cecair. Ini adalah penting untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat.
Tingkatkan pengambilan cecair kepada 6 hingga 8 gelas air atau lebih mengikut keperluan untuk mengelakkan dehidrasi.
- Minum Jus serta makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan antioksida, vitamin, mineral dan serat bagi membantu melawan penyakit.
- Elakkan pengambilan minuman yang mengandungi banyak kaffein seperti kopi dan minuman beralkohol yang boleh menyebabkan pembuangan air kencing yang kerap dan boleh menyebabkan dehidrasi.
- Pengambilan air suam adalah digalakkan berbanding minuman sejuk /berais kerana tubuh badan akan kehilangan haba dengan cepat yang perlu diganti semula.
- Kurangkan pengambilan makanan yang menyebabkan kehausan dan dehidrasi seperti makanan masin atau bergaram.
- Makan pelbagai makanan mengikut keperluan untuk memastikan tubuh mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan.
- Pastikan semua makanan dan minuman disediakan dalam keadaan bersih ,dimasak dan disimpan dalam keadaan yang sesuai sebelum digunakan untuk mengelakkan keracunan atau pencemaran makanan.
- Kekal aktif di tempat yang sesuai ( Dalam bangunan /rumah) tetapi elakkan atau kurangkan aktiviti di luar rumah.
- Elakkan merokok kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan pencemaran udara.
- Anda digalakkan makan di rumah dan menyediakan sendiri makanan. Jika makan di luar, pilihlah tempat makan yang bertutup atau berada di dalam bangunan. Lebih baik bungkus makanan dan makan di rumah bersama keluarga.
sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia